KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini menafikan dakwaan tular mengenai pemberhentian semua panglima serta pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.
Menurut kementerian itu, pihaknya memandang serius kenyataan tular di media sosial yang mendakwa pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) serta pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kebenaran kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, Mindef telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu itu.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif terhadap pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.
“Adalah ditegaskan menyebarkan berita palsu adalah kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” ujarnya. – MalaysiaGazette