KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat
pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah
umrah pada 14 Januari lalu.
Kementerian itu berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Dalam masa sama, MOTAC menyarankan syarikat tersebut membuat tempahan jemaah yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual seperti dipersetujui.
Manakala bagi yang memohon pembatalan pakej, syarikat tersebut perlu memulangkan wang.
“Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.
Sementara itu, MOTAC menasihati mereka yang menjadi mangsa membuat laporan polis dan membuat aduan kepada kementerian menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“Aduan boleh dibuat di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” jelasnya.
Selain itu kementerian berkenaan mengingatkan syarikat pelancongan yang terlibat dengan pakej umrah supaya jujur dan telus melaksanakan perniagaan.
“Isu-isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri ini, memandangkan MOTAC sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.
“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,” tambahnya.
Semalam media melaporkan hampir 379 jemaah gagal terbang ke Tanah Suci selepas Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd gagal menyediakan tiket penerbangan, visa dan kemudahan penginapan.
Jemaah terkandas bukan sahaja melibatkan individu dari Semenajung Malaysia malah ada yang tiba dari Korea Selatan, Brunei dan Singapura.
Dilaporkan, hanya 20 individu daripada 379 jemaah umrah yang terkandas ke Tanah Suci telah menerima pemulangan wang sejak semalam.
Penasihat Undang-Undang yang juga aktivitis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, bayaran balik kepada jemaah yang terlibat dibuat kepada dua orang sahaja hari ini, selain 18 orang lagi semalam. – MalaysiaGazette