Suasana orang ramai yang merupakan mangsa penipuan pakej umrah kelihatan sebak sementara menunggu di pejabat urusan Hejira Travel and Tours di Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri yang juga pemilik pengendali umrah, Hejira Travel  & Tour Holdings Sdn Bhd. berusia 31 tahun ditahan jam 7 malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan turut merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan.

“Semalam sekitar jam 10.39 malam, satu laporan polis telah diterima daripada seorang wanita tempatan di daerah Sepang berkaitan kes penipuan umrah melibatkan syarikat terbabit.

“Mangsa berusia 39 tahun merupakan pekerja syarikat swasta telah mengalami kerugian sebanyak RM11,000 akibat terkandas untuk menunaikan umrah pada 14 Januari dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehingga kini sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat oleh mangsa melibatkan kerugian dianggarkan RM100,000 di Selangor dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati, syarikat terbabit mula menjalankan perniagaan pada tahun 2022 namun telah berpindah ke sebuah premis tiga tingkat dalam daerah Sepang sejak Oktober 2024.

Hussein berkata, modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi Tik Tok Hejira tentang pakej umrah dan berhubung dengan agen yang dilantik oleh pihak syarikat.

“Justeru, pihak polis menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial dan untuk pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah boleh membuat semakan dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC),” jelasnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan polis telah menahan Pengarah Urusan syarikat itu, Mohd Syahril Alias yang didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci.

Tangkapan dibuat pada jam 6.45 petang oleh JSJK Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) susulan laporan polis dibuat oleh jemaah semalam.

Sebelum ini, Mohd Syahril Alias telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan Surat Aku Janji mengatakan sedia membayar kerugian yang ditanggung jemaah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here