KUALA LUMPUR – Syarikat pembekal kepada KK Mart, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd tampil mengemukakan bukti bahawa bahan yang digunakan dalam produk sandwich ‘ham & cheese’ diperkaui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut kenyataan syarikat itu, bahan yang digunakan dalam sandwich itu adalah roti, keju dan kepingan daging ayam atau ham ayam.

“Pihak Shake and Bake Cafe mengesahkan bahawa kepingan daging ayam yang digunakan dalam sandwich tersebut mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim.

“Kami juga mengesahkan pada 10 Januari lalu pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jakim datang ke kilang kami untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan satu muka surat.

Syarikat berkenaan turut melampirkan sijil perakuan halal oleh Jakim yang dikeluarkan pada 16 April 2023.

Ia bertentangan dengan kenyataan Jakim pada Isnin yang memberitahu bahawa produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal.

KK Mart sebelum ini dilaporkan membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk sandwich itu yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).

Rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan bahawa kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangan kedai dihentikan.

UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here