oplus_0

MELAKA – Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan khianat pecah cermin terhadap sebuah balai polis dan kereta pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hidayat Burhan, 25, membuat pengakuan itu dalam dua pertuduhan berasingan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati melakukan khianat dengan membaling tukul besi sehingga menyebabkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling, Melaka pecah mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Balai Polis Tanjung Keling pada pukul 10.10 malam pada 7 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin hadapan kereta milik seorang individu.

Difahamkan tindakannya itu kerana tidak berpuas hati dengan perkahwinan bekas teman wanitanya dengan lelaki lain.

Kesalahan itu dilakukan di rumah beralamat di Batu 7, Tanjung Minyak, Melaka pada jam 10.30 malam pada 8 Januari lalu.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap kedua-dua kesalahan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh didenda sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atau dipenjara lapan bulan jika gagal bayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here