Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Diraja Klang hadir ke Mahkamah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Gred F48 di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 daripada kontraktor infrastruktur pada empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Nor Hasyimah Tamziz, 50, pada 9 Mei 2019 sebagai penjawat awam dikatakan telah menerima wang tersebut daripada Ruslan Abu Bakar bagi kerja penaiktarafan dan pentauliahan infrastruktur sistem rangkaian komputer cawangan MBDK.

Justeru wanita itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya mengesyorkan supaya mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, wanita itu menerusi peguamnya, Ayasamy Velu memohon supaya mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang lebih rendah dan munasabah memandangkan dia mempunyai empat orang anak yang masih belajar.

“Anaknya seorang belajar di Yaman, dua di asrama dan seorang masih berada di madrasah. Tertuduh juga tidak daoat dibuktikan berisiko untuk melarikan diri kerana hari ini hadir bersama suaminya.

“Jika melihat pertuduhan (nilai suapan) RM3,500 (adalah) jumlah yang kecil dengan itu jaminan yang ditawarkan dan yang dibenarkan tidak sepatutnya berbentuk hukuman, kalau boleh ditetapkan sebanyak RM3,000,” katanya di depan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Hakim kemudian membuat keputusan untuk menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000 kepada tertuduh.

Nor Hasyimah juga diperintah untuk melaporkan diri kerana pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdekat sekali setiap bulan.

Sementara itu sebutan dan pengurusan kes ditetapkan pada 5 Mac akan datang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here