PETALING JAYA – Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2025 yang bakal membuka tirainya bermula 22 hingga 25 Januari ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM901,200 atau AS$200,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran acara itu bagi musim Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) akan berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, Tropicana, di sini, bermula Rabu depan.
Beliau berkata, acara yang memasuki edisi ke-12 itu bakal menghimpunkan 144 pemain berpengalaman serta sedang meningkat naik termasuk pemenang Order of Merit ADT 2024, Itthipat Buranatanyarat dari Thailand.
“Sukan sentiasa menjadi tunjang kepada usaha Kerajaan negeri Selangor untuk meletakkan kedudukannya di peta dunia dan PKNS Selangor Masters adalah salah satu contoh paling menyerlah bagaimana ia boleh dicapai.
“Kejohanan itu menarik minat pihak antarabangsa, sekaligus menjadi batu loncatan yang luas bukan sahaja di Malaysia bahkan serantau.
“Acara ini dapat mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pilihan untuk acara sukan utama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, acara tahunan itu merupakan sebahagian daripada kalendar Tahun Melawat Selangor pada tahun ini.
“Saya percaya PKNS Selangor Masters bakal menjadi sebahagian daripada acara yang akan menarik pelancong.
“Dengan tayangan perlawanan di peringkat antarabangsa menerusi rangkaian berita akan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong sukan khususnya di Lembah Klang termasuk Selangor,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa 2025 yang menghimpunkan 127 pemain dari 14 negara bakal berlangsung di lokasi sama, bermula 16 hingga 18 Januari ini.
Beliau berkata, Selangor antara negeri yang menyediakan rangkaian padang golf selain mempunyai pemain-pemain berkaliber peringkat amatur mahupun profesional.
“Kejohanan itu membuktikan Selangor bukan hanya ingin menganjurkan acara di peringkat antarabangsa, bahkan menyediakan program pembangunan sukan golf.
“Melalui kejohanan peringkat remaja, kita akan dapat menyediakan pemain-pemain masa depan, di samping turut memberikan peluang kepada dua pemain terbaik junior untuk bermain di peringkat profesional.
“Kerajaan negeri turut memberi tawaran kepada pemain terbaik remaja Malaysia untuk ke Akademi Golf,” katanya.
Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri Selangor dengan sokongan PKNS telah memperuntukkan RM200,000 bagi tujuan pembiayaan tersebut, selama dua tahun berturut-turut.
“Tahun depan kemungkinan ada permohonan untuk meningkatkan pembiayaan tawaran akademi disebabkan peningkatan penyertaan.
“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengaktif serta meningkatkan latihan serta peluang karier sebagai pemain profesional,” katanya. – MalaysiaGazette