KENYATAAN media MCA berkenaan isu RUU mewajibkan persekolahan sehingga ke peringkat menengah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempunyai rangka pelaksanaan yang jelas dan berkesan sebelum rang undang-undang (RUU) yang mewajibkan pendidikan hingga sekolah menengah kepada generasi muda dikuatkuasakan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting berkata, ia bagi mengelak ibu bapa atau penjaga tidak dikenakan tindakan sekiranya anak-anak mereka tidak dapat meneruskan sesi persekolahan.

Jelas beliau, kemiskinan misalnya menjadi antara faktor utama anak-anak tidak dapat meneruskan persekolahan dengan ada daripada mereka terpaksa bekerja untuk membantu keluarga.

“Ini akan menimbulkan kerisauan dan ketegangan sekiranya ibu bapa atau penjaga ini dikenakan hukuman atau ditarik balik hak penjagaan dan bantuan sekiranya tidak mampu membiayai persekolahan anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Felicia Wong turut mencadangkan supaya KPM mempertimbangkan untuk meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang kini berjumlah RM150 mengikut peringkat seperti kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan B40 dan M40, bilangan isi rumah dan kawasan kediaman.

Dalam masa sama, KPM juga perlu menyelesaikan terlebih dahulu isu logistik khususnya melibatkan keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman.

“Bagi kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil, adakah asrama disediakan untuk memastikan pelajar sampai ke sekolah dengan selamat dan menepati masa selain mempunyai tempat yang berkualiti dan selesa?

“Bukan sesuatu yang asing apabila membaca laporan media mengenai kesusahan pelajar sekolah dari kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Ada antara mereka terpaksa meredah sungai yang berbahaya, melalui jambatan gantung yang usang atau meredah jalan berlumpur melebihi satu jam untuk sampai ke sekolah,” katanya.

Selain itu, tambah Felicia Wong, KPM dalam menguatkuasakan dasar mewajibkan persekolahan tersebut juga perlu memastikan mempunyai kemudahan mencukupi dan guru terlatih untuk pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran.

Jelasnya, guru terlatih itu juga penting untuk menangani isu pelajar yang tidak cenderung ke arah akademik tetapi lebih berminat kepada kemahiran seperti pendidikan teknikal dan vokasional.

Dalam masa sama, katanya, KPM dan pihak berkuasa juga perlu mengatasi isu buli yang turut boleh menyebabkan anak-anak mahu berhenti sekolah.

“MCA mengulangi seruan bahawa sistem pendidikan negara mestilah berkembang selari dengan kemajuan negara dalam memenuhi keperluan para pelajar.

“Selain pelaksanaan dasar, tumpuan juga perlu diberikan kepada keperluan dan kekuatan anak-anak itu sendiri. Pendekatan seperti pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL) atau kaedah pembelajaran berbeza (DLM) yang dicadangkan sebelum ini boleh menyokong pembelajaran peribadi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, KPM sedang dalam proses menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen bulan depan sebagai langkah proaktif menangani isu keciciran murid di peringkat menengah.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dasar tersebut juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here