Datuk Ir. Razali Kassim meninjau kawasan perumahan PPRT Sungai Lumpur di Pantai Jawa dekat Rompin akibat fenomena air pasang besar disebabkan hakisan pantai di kawasan berkenaan

ROMPIN – Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Namun apa boleh buat apabila sekelip mata sahaja rumah roboh akibat dibadai ombak dalam kejadian air pasang setinggi 3.5 meter pada Ahad lalu.

Hamdan Mudik, 60, berkata, rumahnya yang terletak di Jalan Pantai 3 musnah dan roboh apabila kejadian air pasang besar menghanyutkan sebahagian struktur kediamannya.

Hamdan Mudik

”Ombak tinggi dengan angin kuat menghancurkan rumah saya sekelip mata kira-kira jam 9 malam.

”Tak sangka kerana mula-mula nampak  ombak kecil sahaja,  sekali ombak datang besar dengan angin  kuat. Air masuk dalam rumah ombak hempas bahagian depan sehingga separuh rumah jatuh.

”Kejadian air pasang selalu berlaku tapi pertama kali teruk sepanjang tinggal di sini. Saya hilang tempat tinggal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Nurzakia Hamdan,29, berkata setelah menetap lebih 15 tahun di kawasan Pantai Jawa, menyifatkan pukulan ombak yang membadainya rumah bapanya peristiwa terburuk sehingga mereka kehilangan tempat tinggal.

Nurzakia Hamdan

”Tidak menyangka paling teruk berlaku ruang tamu beranda depan roboh semua, tinggal bilik dan dapur.

”Dalam pukul 8 malam angin kuat, masa tu dah pindah ke balai raya tapi tak sangka sejam kemudian rumah dilambung ombak.

”Kami tak boleh balik sebab ketika itu elektrik sudah diputuskan. Jadi memang tidak sempat selamatkan apapun,” katanya sambil bergenang air mata.

Jamiah Abdul Ghani

Bagi Jamiah Abdul Ghani,48, kejadian angin kuat dan air pasang tinggi itu telah menerbangkan enam zink atap rumahnya dan sehingga kini masih fobia dengan keadaan cuaca sebegitu.

”Pada jam 6 petang angin serta merta datang, angin kencang datang sampai enam keping zink terbang buat saya fobia pada Isnin lalu.

”Semasa kejadian hanya seorang, saya tak sempat menyelamatkan barang lain cuma sempat selamatkan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, semua mangsa membabitkan 14 buah rumah PPRT mengalami kerosakan.

Datuk Ir. Razali Kassim

”Saya dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Rompin, Muhammad Hatta Kassim bahawa pihaknya menyediakan sebuah rumah sementara kepada keluarga yang rumahnya musnah akibat kejadian air pasang besar.

”Kami akan berusaha untuk menyelesaikan isu hakisan pantai ini ini secepat mungkin namun ia memerlukan bantuan kerajaan persekutuan selain kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati agar orang ramai yang berkunjung di pantai berkenaan agar tidak menyentuh obor-obor berikutan hidupan laut tersebut berbisa.

Tinjauan mendapati obor-obor beracun jenis Portuguese man o’war dilaporkan terdampar di pantai berkenaan selain dari Pantai Hiburan di Rompin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here