KUALA LUMPUR – Polis menahan pengarah urusan syarikat Hejira Travel And Tours Holding Sdn Bhd, Mohd Syahril Alias yang didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci.
Tangkapan dibuat pada jam 6.45 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Difahamkan penahanan ini dilakukan susulan laporan polis dibuat oleh jemaah semalam yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.
Ketika ditahan, beliau baru selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama dengan jemaah terlibat.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 jemaah dipercayai diperdaya syarikat berkenaan yang menjanjikan akan diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat itu.
Salah seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Ida mendakwa beliau hanya diberitahu tentang penangguhan tersebut pada petang Ahad.
Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak syarikat adalah hotel penginapan telah dibatalkan oleh pihak Arab Saudi. – MalaysiaGazette