Sungai Kabul di Beranang semalam bertukar menjadi merah jambu akibat pencemaran. - Kredit LUAS.

KUALA LUMPUR – Susulan Sungai Kabul di Beranang dekat sini semalam bertukar menjadi merah jambu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan kod kuning.

Dalam kenyataannya, LUAS memaklumkan aliran air berwarna merah jambu sepanjang 500 meter itu dikesan semasa aktiviti rondaan dan pemantauan rutin kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Kod Kuning diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.

“Ini kerana aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer (km),” menurut kenyataan LUAS hari ini.

Menurut LUAS, pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang ekoran penemuan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

Premis berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan dan menutup pelepasan serta merta dan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 telah diberikan kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan segera di lokasi dan kawasan yang terlibat.

“LUAS juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut,” menurut kenyataan itu.

LUAS juga telah mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Kabul dengan kekerapan 30 minit dan memantau kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat sehingga selesai dan setakat ini keadaan terkawal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here