PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan menyembunyikan kes membabitkan perkahwinan anak lelaki seorang menteri.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan cuba menyorokkan kes yang sedang mendapat perhatian masyarakat ketika ini.
“Tidak ada cover up,” jawab Fahmi ringkas dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, ketika ditanya bahawa ada pihak percaya kerajaan akan cuba menutup kes berkenaan.
Polis telah mengesahkan sijil nikah anak seorang menteri Kabinet adalah sah selepas mereka berkahwin di negara jiran pada September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan pasangan berkenaan bercinta dan ingin berkahwin, namun ada halangan.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri seperti yang tular di laman media sosial sejak Rabu.
Razarudin dilaporkan berkata, siasatan kes berkenaan sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin lalu, untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Tindakan itu sekali gus menunjukkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Terdahulu tular dalam laman sosial Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya sejak tujuh minggu lalu.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, isu membabitkan sandwich ham menggunakan logo halal yang tidak sah turut tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
“Tidak, kami juga tidak disajikan dengan sandwish hari ini,” katanya sambil ketawa.
Titah adendum yang membabitkan hukuman tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu sandwish ham adalah dua isu yang hangat diperkatakan oleh rakyat terutama di media sosial. – MalaysiaGazette