Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes titah adendum merupakan satu cubaan mengekang kebebasan bersuara.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, ia bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi bahkan bertentangan dengan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan selain menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Perkara 10(1)(a) pula menyatakan, tiap-tiap warganegara berhak untuk mengemukakan pendapat.

“Rakyat berhak menyuarakan pandangan, memberi pendapat tentang dasar kerajaan serta memberi kritikan terhadap tindakan dianggap menyalahi undang-undang atau tidak adil serta memanipulasikan undang-undang.

“Melalui gag order, kerajaan cuba menyekat hak ini untuk rakyat berbincang dan memberikan pandangan mengenai isu yang melibatkan kepentingan umum dan hak keadilan seorang rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan gag order bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes titah adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, permohonan itu dibuat untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R) dan ia akan difailkan pada 20 Januari ini.

Mohd Zai berkata, Perkara 10(1)(a) juga memberi perlindungan kepada kebebasan media untuk menyebarkan maklumat tepat dan adil.

“Ini termasuk hak media untuk melaporkan perkembangan kes-kes penting yang melibatkan tokoh awam atau isu-isu kepentingan rakyat.

“Permohonan gag order bertujuan menutup atau menyekat maklumat penting yang sepatutnya diketahui oleh rakyat dan ia adalah tindakan bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan media yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kerajaan seharusnya memberi ruang kepada media dan rakyat untuk mengakses maklumat dengan jelas dan tanpa sekatan.

“Hanya dengan cara ini, integriti sistem perundangan dan keadilan negara dapat dipertahankan,” katanya.

Menurut Mohd Zai, Perkara 8 Perlembagaan juga memberi jaminan kepada setiap individu bahawa mereka berhak mendapat keadilan dan perlakuan yang sama di hadapan undang-undang.

“Sekatan terhadap maklumat yang berkaitan dengan kes-kes yang melibatkan kepentingan awam berisiko untuk menjejaskan prinsip keadilan tersebut.

“Jika rakyat tidak diberi peluang untuk mengetahui butiran mengenai pengampunan, disorok dan disembunyikan oleh pihak tertentu, ia boleh menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan integriti proses keadilan dan pengampunan.

“Proses perundangan dan kehakiman di Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan, seharusnya dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan tanpa sebarang bentuk penyembunyian, penyorokan atau sekatan tidak wajar,” katanya.

Katanya lagi, tindakan gag order itu mengundang persoalan mengenai objektif dan integriti sistem kehakiman negara.

“Ia juga menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat percubaan untuk mengawal naratif awam dan menutup kemungkinan perbincangan kritikal mengenai tindakan kerajaan atau tokoh-tokoh penting.

“Ia juga memperlihatkan ketakutan kerajaan terhadap kritikan dan pandangan awam, terutamanya apabila ia melibatkan isu yang membabitkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, sekiranya kebebasan bersuara disekat, ia dikhuatiri membuka ruang bagi penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak berkuasa yang cuba menutup kesalahan mereka dengan cara tidak demokratik.

“Ummah menggesa agar mahkamah menolak permohonan gag order ini dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kebebasan bersuara, kebebasan media, hak untuk mendapatkan keadilan, dan keterbukaan dalam proses perundangan adalah asas penting dalam sebuah negara demokratik.

“Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menggunakan sekatan undang-undang untuk menutup kebenaran atau menghalang rakyat daripada menyuarakan pandangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Ummah menyeru kerajaan agar berhenti daripada mencabul hak-hak asasi rakyat dan mengambil pendekatan yang lebih telus serta adil dalam menangani isu ini.

“Rakyat berhak untuk mengetahui dan berhak untuk bersuara tanpa rasa takut atau sekatan mahu pun ugutan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here