REMBAU – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 226.5 Lebuhraya PLUS Senawang-Ayer Keroh arah utara, di sini, yang dipercayai berpunca daripada lori hilang kawalan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian pada 5.40 pagi itu, pemandu lori Mohd Esa Daharin, 73, dan kelindan warga Bangladesh MD Usuf Ali, 44, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Sementara pelajar kolej Terence Ng, 21, yang merupakan penumpang kereta Honda disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau.
“Lori membawa muatan tanah dan bunga dari arah Ayer Keroh, Melaka ke Senawang, Negeri Sembilan dipercayai telah hilang kawalan menyebabkannya melanggar besi penghadang kanan jalan sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Pemandu kereta Honda di belakang dipercayai tidak sempat mengelak telah melanggar lori itu diikuti kereta BMW dan Toyota Vios secara berturutan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Shaik Abd Kadar berkata, kemalangan juga menyebabkan lima mangsa cedera parah termasuk kelindan lori warga Bangladesh, pemandu dan dua penumpang kereta Honda serta pemandu BMW.