Suasana orang ramai yang terkandas tidak dapat menunaikan umrah kelihatan sebak sementara menunggu di pejabat urusan Hejira Travel and Tours di Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2025.

SEPANG – “Saya baru sahaja kehilangan suami dan berhasrat untuk pergi menunaikan ibadah ke tanah suci bagi merawat hati tapi ini yang terjadi,”

Demikian luahan seorang ibu tunggal dua anak yang merupakan antara jemaah terkandas ke tanah suci oleh syarikat pengendali umrah, Hejira Travel and Tours Holdings Sdn. Bhd.

Umi Munawaraz Zahizan, 34, yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, dia mengetahui mengenai syarikat pengendalian umrah itu menerusi aplikasi Tik Tok dengan menawarkan pakej yang murah.

Katanya, dia sepatutnya pergi bersama dengan rakan baiknya pada 14 Januari lalu dengan pakej umrah yang telah dibayar sebanyak RM11,000 namun tiket penerbangan serta visa masih belum diperolehi.

“Saya tahu mengenai syarikat berkenaan menerusi TikTok sebab ramai pempengaruh beri maklum balas yang baik, harga berpatutan dengan perkhidmatan daripada jemaah yang pernah melanggan pakej mereka.

“Tapi saya mula tidak sedap hati sejak Disember lalu yang mana jemaah mereka tularkan di media sosial mengenai keadaan sewaktu menunaikan umrah melibatkan hotel dan juga pengurusan syarikat itu.

“Namun saya masih bersangka baik sehingga hari ini, dan saya buat pembayarah umrah ini sewaktu saya dalam tempoh edah selepas kematian suami enam bulan lalu dan terpaksa tinggalkan anak yang sakit di rumah,” luahnya dalam nada sedih ketika ditemui pemberita.

Mangsa, Umi Munawarah Zahizan,34 kelihatan sebak ketika bercakap pada media berkenaan mangsa penipuan kelihatan terpedaya dengan package pelancongan penipuan jemaah umrah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kawasan Pusat Perniagaan Sun Suria City, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2025.

Sementara itu, seorang lagi mangsa daripada Brunei yang berhasrat membawa ibunya menunaikan umrah merupakan pesakit kansert tahap empat ibarat ‘hancur bagai abu di atas tunggul’.

Menurut Wan Muhammad Fauzi Mohamed, 38, ia adalah kali pertama ibunya yang berusia 70 tahun ingin menunaikan ibadah itu.

“Saya sepatutnya pergi seramai lapan orang daripada Brunei dengan pakej umrah yang kami bayar keseluruhan adalah RM62,000 tapi ibu saya paling kecewa dan sedih dengan keadaan ini.

“Sebaik dia mengetahui hal ini, tiada kata apa-apa tapi boleh nampak wajahnya yang sedih kerana dia menghidap kanser usus tahap empat.

“Kami sekeluarga memilih pakej umrah dengan syarikat ini sebab mereka sediakan perkhidmatan bantuan untuk orang yang uzur, dan sebelum ini saya bersama isteri pergi dua kali umrah secara sendiri,” katanya dengan perasaan kecewa.

Mangsa, Muhammad Fauzi Mohamed,38 bercakap pada media berkenaan mangsa penipuan kelihatan terpedaya dengan package pelancongan penipuan jemaah umrah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kawasan Pusat Perniagaan Sun Suria City, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2025.

Bagaimanapun, rata-rata jemaah yang terkandas berharap pihak terlibat bertanggungjawab dan memulangkan semula wang mereka agar dapat menunaikan umrah dengan perkhidmatan syarikat travel agensi (TA) lain.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, hanya 20 individu daripada 379 jemaah yang terkandas telah menerima pemulangan wang daripada syarikat pengendali umrah terbabit.

Penasihat Undang-Undang yang juga aktivitis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, bayaran balik kepada jemaah terlibat dibuat kepada dua orang sahaja hari ini selain 18 orang semalam.

Katanya, hasil semakan mendapati  jumlah keseluruhan tuntutan kesemua mangsa hampir RM2.13 juta namun syarikat hanya membayar sekitar RM13,400 sahaja kepada dua jemaah hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada jam 2 petang tadi mendapati beberapa anggota polis termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Datuk Saiman Kasran hadir ke pejabat pengendali umrah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here