PUTRAJAYA – Malaysia telah mencatatkan sejumlah 97.1 juta trafik penumpang pada tahun lalu, demikian menurut Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan itu berkata, jumlah berkenaan meningkat sebanyak 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dan mewakili hampir 90 peratus ketika pra pandemik Covid-19.
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh beberapa faktor utama termasuk penambahan kapasiti tempat duduk yang disediakan oleh syarikat penerbangan, pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India serta peningkatan kesalinghubungan ke destinasi utama seperti China, India, Indonesia, Korea Selatan, Australia, dan negara-negara Teluk.
“Tahun 2024 juga menyaksikan syarikat penerbangan melancarkan laluan udara baharu termasuk ke Kazakhstan dan Kenya,” katanya dalam sidang media prestasi tafik penumpang dan kargo Malaysia bagi tahun 2024 di sini hari ini.
Jumlah itu, kata Anthony, lebih baik dari jangkaan trafik penumpang yang dijangkakan kembali normal selepas empat tahun pandemik Covid-19.
Jelas beliau, ia adalah satu pencapaian yang baik kepada negara kerana semasa pandemik trafik penumpang menjunam dengan teruk.
“Ini dikira sangat-sangat memuaskan dan baik kerana semasa pandemik ada ramalan mengatakan ia akan mengambil masa lima tahun untuk kembali ke waktu sebelum pandemik.
“Tetapi kita hanya mengambil masa tiga tahun sahaja dengan mencecah sembilan peratus pada sebelum pandamik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pergerakan kargo udara pada tahun lepas juga meningkat sebanyak 8.3 peratus dengan mencapai 1,034.1 juta kilogram (kg) berbanding 955.1 juta kg pada tahun 2023.
Bagi tahun ini, MAVCOM jelas beliau menyasarkan trafik penumpang udara antara 105.8 hingga 112.9 juta penumpang. – MalaysiaGazette