KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bersetuju bahawa laporan berbentuk teguran yang dikeluarkan oleh firma juruaudit berkaitan pelaburan luar negara syarikat itu dalam Brazen Sky Limited adalah serius.
Bagaimanapun Arul berkata, beliau tidak pernah bertanya mengapa dua firma audit iaitu KPMG dan Firma Ernst & Young (EY) meletak jawatan atau menamatkan perkhidmatan dengan 1MDB pada 2010 dan 2013.
Ini kerana beliau hanya menyertai 1MDB pada 2015.
Arul berkata demikian ketika disoal oleh peguam 1MDB, Datuk Lim Chee Wee pada prosiding saman 1MDB berjumlah AS$6.59 bilion terhadapnya dan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Raja Ahmad yang sempat mencelah bertanya kepada Arul adakah beliau melihat laporan KPMG selepas menyertai 1MDB dan defenden memberitahu beliau tahu tentang laporan itu.
Sebelum ini ketika kenyataan pembukaan, mahkamah dimaklumkan bahawa syarikat audit Deloitte telah dilantik selepas KPMG membangkitkan kebimbangan serius mengenai kebolehpercayaan maklumat yang diberikan oleh pengurusan 1MDB berhubung status pelaburan Brazen Sky.
1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul, dengan menuduh mereka pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian AS$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar menjadi pelaburan, Brazen Sky Limited yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.
Syarikat dana strategik negara itu juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.
1MDB menuntut ganti rugi AS$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran itu, dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.
Prosiding akan bersambung esok pagi. – MalaysiaGazette