JOHOR BAHRU – Banjir di Kluang dan Kota Tinggi pulih sepenuhnya selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terbabit sudah pun ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, dua PPS di Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang ditutup pukul 10 pagi tadi.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memberitahu, PPS berkenaan ditutup pukul 10 pagi tadi selepas banjir surut seramai 213 mangsa daripada 68 keluarga dibenarkan pulang ke rumah.
“Sehingga pukul 10 pagi ini, hanya Pontian yang masih merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 17 orang daripada empat keluarga di sebuah PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, banjir di daerah itu pulih sepenuhnya dengan penutupan PPS terakhir di Kampung Perpat pukl 12 tengah hari semalam.
Jelasnya, PPS berkenaan merupakan antara 17 PPS yang dibuka di daerah itu sejak banjir Jumaat lalu.
Bagaimanapun katanya, penduduk diminta waspada susulan ramalan luruan monsun yang melibatkan beberapa daerah termasuklah Kota Tinggi.
“Mengikut ramalan Jabatan Meteorogi dijangka terdapat luruan monsun ke beberapa daerah termasuk Kota Tinggi dari 16 Januari hingga 19 Januari yang mungkin menyebabkan hujan lebat dan seterusnya banjir,” katanya.
Beliau menasihatkan semua penduduk yang berada di kawasan hotspot risiko banjir dapat sentiasa peka dengan keadaan cuaca terkini.
“Sentiasa waspada untuk tindakan yang perlu serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen semua agensi dan semua pihak yang terlibat.
Katanya, persiapan kesiapsiagaan awal yang dilaksanakan oleh semua agensi terlibat dan berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)banyak membantu pengurusan bencana banjir terutamanya dari segi proses pemindahan mangsa banjir, pengurusan PPS, penyaluran bantuan dan kerjasama penduduk Kota Tinggi dapat dilaksanakan dan berjalan lancar dan teratur.
Sementara itu, MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka esok hingga Ahad ini.
Pada masa sama, tiada sungai yang dilaporkan pada paras bahaya, namun Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai pada tahap amaran dengan bacaan 14.17 meter. – MalaysiaGazette