JOHOR BAHRU – DAP Johor mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kenyataan palsu mengaitkan kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong dalam isu logo halal.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ini kerana kenyataan berkaitan isu logo halal pada produk ham yang dijual di sebuah kedai serbaneka di sebuah universiti jauh berbeza daripada kenyataan asal Kah Leong.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata, kenyataan palsu tersebut tersebar dalam media sosial sejak dua hari lalu.
“Beberapa akaun Facebook menyebarkan satu kenyataan palsu yang direka-reka dan mengaitkannya sebagai kenyataan Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong.
“Kenyataan tersebut berkaitan isu logo halal pada produk ham yang dijual di sebuah kedai serbaneka.
“Saya telah menghubungi Kah Leong dan membuat semakan terhadap kenyataan asal beliau.
“Ternyata ia jauh berbeza dari kenyataan palsu yang disebarkan. Ini suatu bentuk fitnah yang disebarkan dengan tujuan yang tidak baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah akan menggugat keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Sesungguhnya fitnah itu dimulakan oleh si pembenci, disebarkan oleh si daif dan diterima oleh mereka yang jahil. Ia mesti dihentikan segera.
“Fitnah seperti ini boleh menggugat keharmonian dalam kalangan rakyat. Justeru, laporan polis oleh DAP akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette