KULAI – Kerja-kerja bagi pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Kulai-Sedenak dekat sini akan dihentikan sementara selama 12 hari bermula 23 Januari ini sehingga 3 Februari depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, langkah berkenaan bagi mengelakkan kesesakan susulan musim cuti persekolahan dan cuti Tahun Baharu Cina.
“Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuhraya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada.
“Saya sudah mengarahkan pihak PLUS supaya memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja-kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti.
“Oleh itu, pada musim cuti sekolah dan Tahun Baru Cina nanti, arahan pemberhentian kerja sementara sudah dikeluarkan selama 12 hari bermula daripada 23 Januari hingga 3 Februari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 Senai Utara-Sedenak, Pakej A: Kulai-Sedenak di Persimpangan Bertingkat Sedenak di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Plus terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.
Projek berkenaan merupakan sebahagian projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara, adalah inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS Wilayah Selatan yang sering berlaku ketika waktu puncak terutama semasa cuti umum atau musim perayaan.
Sementara itu, Nanta Linggi berkata, peratus kemajuan projek pembinaan lorong tambahan PLUS laluan Kulai-Sedenak setakat 31 Disember lalu mencapai 5.02 peratus.
Katanya, kerja pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu juga didapati berjalan lancar mengikut jadual.
Menurutnya, kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi termasuk kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.
“Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedenak-Kulai arah Selatan ini selesai, kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi berkenaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat.
“Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.
“Kos keseluruhan fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak-Kulai) ialah RM249 juta,” katanya.- MalaysiaGazette