Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berucap pada Himpunan Freedom of Palestine anjuran Viva Palastina Malaysia dan MYCARE di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perjanjian gencatan senjara di Gaza bermula Ahad ini memberikan harapan baharu untuk keamanan dan kestabilan di wilayah yang telah lama dirundung kekejaman itu.

Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) yang menyambut baik pengumuman gencatan senjata kerana ia menandakan berakhirnya 467 hari konflik yang menghancurkan Gaza.

Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, gencatan senjata yang dicapai bukan bermakna detik untuk masyarakat dunia berdiam diri daripada menghentikan terus kekejaman yang berlaku.

“Ketika kita merenung kembali 15 bulan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Gaza, kita mesti teguh dalam harapan bahawa gencatan senjata yang rapuh ini merupakan permulaan baru.

“Ini bukan hanya detik untuk berdiam diri, tetapi juga peluang untuk menuntut keamanan yang sebenar dan berpanjangan — satu keamanan di mana pendudukan berakhir, di mana nyawa Palestin tidak lagi menjadi angka statistik, dan di mana keadilan tertegak.

“Jalan yang akan datang memerlukan kesatuan berterusan kita, tindakan, dan komitmen yang tidak goyah untuk memastikan gencatan senjata ini menjadi asas bagi Palestin yang adil dan merdeka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, pihaknya kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan bantuan kritikal kepada penduduk Gaza yang terjejas.

MAHAR menyeru semua pihak untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan orang awam yang tidak bersalah dan berusaha ke arah keamanan yang berkekalan.

“Kami akan terus berdiri bersama rakyat Gaza untuk memastikan mereka menerima sokongan yang sangat diperlukan dalam tempoh kritikal ini.”

“MAHAR menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan jangka panjang dan menyeru kerjasama antarabangsa untuk memastikan rakyat Gaza menerima bantuan yang diperlukan bagi membina semula kehidupan, rumah, dan komuniti mereka,” kata beliau.

Badan bukan kerajaan itu sebelum ini telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza termasuk Ops Ihsan dengan menyampaikan bantuan penting seperti bekalan makanan, kit perubatan, dan sumber kecemasan kepada komuniti paling rentan.

Misi Bantuan Kasih Johor 2.0 yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan makanan, barangan keperluan bayi, keperluan asas dan pelbagai lagi kepada pelarian dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Selain itu MAHAR turut menjalankan Program Dapur Ihsan ketika perang berlangsung dengan menyediakan hidangan harian kepada keluarga terjejas, memastikan akses kepada makanan berkhasiat dan membantu meringankan kelaparan serta memperbaiki kesejahteraan fizikal dan mental mereka.

Israel dilaporkan telah membunuh lebih 45,000 penduduk Gaza dan memusnahkan kediaman dan kemudahan di wilayah itu dalam serangan berterusan sejak Oktober 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here