KUALA LUMPUR- Malaysia menzahirkan rasa syukur atas pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel selama enam minggu bermula Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis yang telah berlangsung lebih 460 hari dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.
“Gencatan senjata awal selama enam minggu ini, yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, adalah hasil rundingan bersama Mesir dan Qatar.
“Langkah ini merangkumi penarikan balik tentera Israel secara berperingkat serta pembebasan tebusan oleh Hamas, dan dijangka berkuat kuasa pada hari Ahad ini.
“Sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza.
“Kami juga menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian yang lebih luas,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Tambah Zahid, Malaysia juga menyeru agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin yang kini berdepan dengan krisis bekalan makanan, sumber air bersih, bahan api, serta keperluan perubatan dan kesihatan.
Malaysia juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berpanjangan ini.
“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN