TERNATE, Indonesia – Ratusan penduduk dipindahkan manakala ribuan lagi menunggu giliran untuk dievakuasi selepas aktiviti letusan Gunung Ibu di Halmahera, Maluku Utara, meningkat di timur Indonesia.
Gunung berapi itu dilaporkan mengeluarkan asap tebal setinggi empat kilometer ke udara, mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar.
Status amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap tertinggi oleh Badan Geologi Indonesia, memaksa pihak berkuasa tempatan memulakan proses evakuasi membabitkan 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.
Sehingga pagi ini, 517 penduduk telah dipindahkan dari kampung terdekat, manakala pemindahan penduduk selebihnya dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.
Menurut jurucakap Badan Pengurusan Bencana Daerah, Irfan Idrus, tempat perlindungan sementara telah disediakan dan proses evakuasi sepenuhnya akan dilaksanakan hari ini untuk enam kampung terlibat.
Katanya, proses pemindahan yang bermula jam 6 petang semalam mengalami kelewatan akibat isu pentadbiran dan logistik. – Agensi