PUTRAJAYA – Hasil siasatan jawatankuasa berhubung kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah yang disyaki dibuli dijangka didedahkan kepada umum bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendedahan akan dibuat selepas hasil siasatan itu dibentangkan kepada Kabinet dan penjelasan diberikan kepada waris.
“Laporan terakhir pasukan khas bebas telah membuat pembentangan kepada saya dan saya juga telah pun menelitinya.
“Keluarga memohon diberikan penjelasan laporan kepada mereka dan saya pastinya akan memenuhi permintaan mereka sebelum saya dedahkan laporan kepada umum, itu janji saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) Jalan P9a, Presint 9, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan pada 10 Oktober lalu dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah.
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat selepas seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah pada 29 Ogos 2024.
Doktor itu didakwa bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.
Perkara itu didedahkan adik mangsa, yang dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.
Tay dalam perkongsian melalui akaun Facebooknya berkata, kakaknya berkhidmat sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.
Dr Tien Yaa menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2023 sebelum melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari 2024.-MalaysiaGazette