Onn Hafiz ketika menghadiri Bengkel Strategik Program Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) di Hotel Sunway Big Box, di Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor merekodkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM2.1 bilion tahun lepas, mengatasi sasaran ditetapkan iaitu RM1.9 bilion.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, angka itu juga merupakan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan pada tahun ini menyasarkan kutipan hasil sehingga RM2.5 bilion disokong terutamanya pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Buat pertama kali dalam sejarah Johor, kita menutup akaun dengan kutipan hasil sebanyak RM2.1 bilion, ini menunjukkan hasil negeri sudah meningkat.

“Seperti yang dibincangkan ketika mempersembahkan laporan itu kepada Pemangku Sultan Johor, kita menjangkakan dengan pembaharuan yang dilakukan, kita mampu merekod kutipan RM2.3 hingga RM2.5 blion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Strategik Program Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Dr Idris Jala.

Onn Hafiz berkata, ketika mengadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, sebarang tambahan pendapatan yang diperoleh kerajaan negeri, perlu dipulangkan semula kepada rakyat.

“Tak guna ada pendapatan yang banyak ini jika tidak dipulangkan semula kepada rakyat, setiap mereka perlu merasakan kelebihan ini apabila meraihkan keputusan positif ini.

“Kalau boleh, kita bukan sahaja nak jadi negeri yang mencatatkan Keluarkan Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi negeri pertama umum bonus tertinggi kepada penjawat awam, tiga atau empat gaji sekiranya capai sasaran,” katanya.

Tambahnya, cara kerja penjawat awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menunjukkan prestasi membanggakan namun berpontensi untuk menjadi lebih baik.

“Kutipan hasil yang melebihi sasaran tahun lalu, adalah berkat usaha semua pihak termasuk pegawai kerajaan dan semua yang terlibat hingga berjaya merekodkan hasil negeri RM2.1 bilion.

“Kita bersyukur dengan pencapaian ini dan dalam masa sama kita perlu tingkat usaha lagi dan memberi pulangan yang lebih tinggi kepada rakyat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here