MENTERI EKONOMI, Datuk Seri Rafizi pada sesi penglibatan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama dewan-dewan perniagaan dan pemain industri dalam bidang farmaseutikal dan kimia, digital, mesin dan peralatan serta teknologi makanan pertanian di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Penambahbaikan terhadap rantaian bekalan dan ketelusan harga merupakan antara tiga perkara utama yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Ekonomi ke arah menambah baik struktur dan ekosistem ekonomi negara tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, negara ketika ini berdepan isu dari segi rantaian bekalan yang tidak cekap yang turut mempengaruhi kepada harga bekalan yang tinggi.

Beliau memberikan contoh bagaimana sesuatu hasil keluaran di selatan negara terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur bagi tujuan pemprosesan dan sebagainya sebelum dihantar semula untuk jualan di bahagian selatan negara.

“Sedangkan mengikut logiknya, jika rantaian bekalan itu baik, maka orang di selatan membeli hasil keluaran di selatan, jadi tidak akan berlaku harga logistik yang tinggi.

“Namun, perkara ini memerlukan lebih banyak infrastruktur, data dan peraturan-peraturan yang belum ada (baharu), jadi itu akan jadi fokus utama kepada Kementeria Ekonomi bagi tahun 2025 ini, kita akan bentang kepada kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi penglibatan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama dewan-dewan perniagaan dan pemain industri dalam bidang farmaseutikal dan kimia, digital, mesin dan peralatan serta teknologi makanan pertanian di Hotel Everly, di sini hari ini.

Rafizi pada sesi penglibatan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama dewan-dewan perniagaan dan pemain industri dalam bidang farmaseutikal dan kimia, digital, mesin dan peralatan serta teknologi makanan pertanian di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.

Selain itu, tambah Rafizi, sepanjang tahun ini pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada usaha menskalakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mampu berkembang menjadi perusahaan lebih besar.

Ujar beliau, pihaknya sudah menjalankan kajian bersama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) tahun lalu berhubung perkara itu dan kini dalam proses benchmarking (membandingkan prestasi proses perniagaan termasuk kos, kitaran masa, produktiviti atau kualiti) sektor itu dengan cabang ekonomi lain.

“Sektor PKS adalah penyumbang terbesar dari segi jumlah perniagaan di negara ini yang mana 97 peratus daripada jumlah perniagaan terdiri daripada PKS.

“Tetapi ada masalah-masalah struktur yang menyukarkan PKS ini bergabung untuk menjadi lebih besar dan sebagainya, jadi ini juga akan menjadi tumpuan kita,” katanya.

Dalam masa sama, ujar Rafizi, kementerian itu sepanjang tahun ini juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk pengkomersialan dan inovasi.

Jelas beliau, kerajaan ketika ini membelanjakan lebih RM1 bilion setahun bagi tujuan R&D sama ada bagi sektor awam atau swasta, namun masih terdapat jurang besar dan ruang kepada penambahbaikan.

“Jadi ini yang sedang kita usahakan secara bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan sudah pun dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum dibawa ke Kabinet, insya-Allah dalam dua atau tiga bulan dari sekarang.

“Apabila selesai kita akan lancarkan kepada rakyat pada separuh pertama tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here