KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming boleh dianggap memperkecil-kecilkan usaha mempertahankan logo halal.
Ketua Penerangan Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, kenyataan pemimpin DAP itu merupakan satu penghinaan dan pencabulan terhadap kepercayaan umat Islam di Malaysia.
“Sebagai seorang Menteri, Nga Kor Ming sepatutnya memainkan peranan untuk memperkukuh perpaduan antara kaum, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden DAP itu menerusi laman sosial X memberi penerangan berkenaan maksud ‘ham’ dan cheese yang menurutnya ‘ham’ merupakan proses untuk menghasilkan makanan seperti turkey ham dan chicken ham yang bagus untuk dimakan.
Kor Ming berkata, ia juga sama dengan air root-beer dibuat daripada akar sassafras yang bukan alkohol dan juga baik untuk diminum.
“Menjadikan perkara ini sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh),” kata Kor Ming.
Berikutan itu, Nurul Syazwani memberi peringatan kepada menteri itu supaya berhenti mencabar kesabaran umat Islam. – MalaysiaGazette