KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kenyataan seorang peguam yang didakwa membuat pertuduhan keji dengan menggunakan bahasa tidak sopan mengenai keperibadian seorang pemimpin kanan negara seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Setiausaha Agung ABIM, Muhamad Aliemran Norasid berkata, perbuatan itu membawa implikasi yang sangat berat kepada individu berkenaan kerana ia boleh dikategorikan di bawah kesalahan qazaf.
Jelas beliau, pandangan jumhur atau majoriti ulama bersepakat bahawa apa-apa tuduhan liwat yang dibuat tanpa empat saksi yang adil secara automatik tergolong dalam jenayah qazaf, berdasarkan pada sumber rujukan asas iaitu al-Quran dan sunah.
Menurutnya, saksi kepada pelaku qazaf adalah sangat berat kerana ia membabitkan integriti dan kesaksian individu berkenaan yang tidak boleh sama sekali disucikan dengan justifikasi manusia tanpa rujukan agama yang jelas.
“ABIM menegaskan Islam melindungi maruah serta integriti manusia daripada perbuatan keji seperti fitnah khususnya membabitkan jenayah qazaf.
“Autoriti jumhur ulama ke atas jenayah keji adalah jelas dan melangkaui sebarang keraguan kerana ia diasaskan pada rujukan al-Quran dan sunah yang sahih.
“Autoriti ini tidak boleh diragukan atas justifikasi bersifat ‘escapism’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular sedutan video ceramah seorang peguam, Wan Rohimi Wan Daud yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya terlupa pernah menjadi banduan dan menafikan hak banduan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diahan di rumah sebagaimana termaktub dalam titah adendum.
Menerusi video itu, Wan Rohimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor daripada Pas turut mengungkit kembali tuduhan liwat terhadap Anwar meskipun telah menerima Pengampunan Diraja.
Sementara itu, Muhamad Aliemran melahirkan kekhuatiran jika jenayah qazaf serta gejala fitnah itu tidak ditangani dengan serius akan membawa implikasi yang membinasakan masyarakat sehingga akar umbi.
Ujarnya, perbezaan kecenderungan politik tidak seharusnya melarat ke dalam bentuk dendam yang akan membinasakan sesiapa sahaja termasuk pelaku yang terjebak dalam fitnah apatah lagi jenayah qazaf.
“ABIM menyeru agar masyarakat menghayati makna di sebalik ayat ke-13 surah al-Nur sebagai pegangan dalam menghadapi fitnah yang digejalakan menerusi media sosial.
“Atas sebab itu, ABIM menyeru agamawan Muslim di negara ini untuk sama-sama mengambil pendekatan tegas untuk menangani gejala ini daripada berakar umbi ke dalam minda masyarakat kita,” katanya. – MalaysiaGazette