KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada isu pertumbuhan gaji yang terbantut dalam menangani masalah penghijrahan cendekiawan dan pakar tempatan ke negara lain.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, gaji yang terbantut di sebalik peningkatan kos sara hidup akibat penarikan subsidi dan pelaksanaan cukai-cukai baharu tidak mewujudkan persekitaran yang inklusif kepada diaspora berkenaan untuk berkhidmat di negara ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, pekerja mahir dan pakar, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) wajar diberi gaji yang setimpal dengan kemahiran dan nilai daya pengeluaran mereka.
Jelasnya, kehilangan pakar-pakar dalam bidang penting seperti kesihatan, pendidikan dan teknologi sudah tentu meninggalkan kesan buruk ke atas pembangunan negara secara jangka masa panjang.
“Kerajaan disaran mengambil tindakan segera untuk menaikkan gaji pekerja, tetapi pada masa sama memastikan daya pengeluaran yang setimpal.
“Tumpuan juga harus diberikan kepada usaha mewujudkan persekitaran di mana bakat tempatan akan dihargai, diberi sokongan secukupnya dan diperkasakan.
“Ini penting kerana kemakmuran masa depan negara kita bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk mengekalkan dan memupuk bakat yang berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tambah Choo Seong, kenaikan gaji tidak harus dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya harus dikawal untuk mengelak kadar inflasi negara bertambah buruk.
Atas sebab itu, ujar beliau, dasar-dasar mesra rakyat yang merangkumi rumah mampu milik, penjagaan kanak-kanak, kesihatan, subsidi untuk barang keperluan asas dan sebagainya wajar diteruskan untuk mengurangkan beban rakyat serta menjadikan Malaysia ebagai pilihan bakat tempatan dan asing.
“Selain itu, pembaharuan dari segi kebudayaan dan struktur juga penting untuk mewujudkan persekitaran yang meritokrasi, inklusif dan telus untuk memupuk bakat tempatan serta memberi ruang kepada mereka untuk berkembang maju dan menyumbang semula kepada tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, seramai 1.86 juta bakat tempatan Malaysia termasuk yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dilaporkan berhijrah ke negara luar di seluruh dunia untuk mencari peluang kerja lebih baik.
Steven berkata, berdasarkan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia melalui kajian bertajuk ‘Leveraging on Malaysian Diaspora: Malaysian Diaspora Heat Maps’ yang disiapkan pada April 2022, populasi diaspora Malaysia di empat negara utama dianggarkan seramai 281,429 orang.
Empat negara tersebut ialah Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang). – MalaysiaGazette