Muhammad Firdaus Shariff

MELAKA – Kertas siasatan terhadap syarikat lori yang disyaki menjadi punca nahas mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, 23 Disember lalu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, penyerahan lengkap itu dibuat awal minggu ini bagi tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Siasatan kita ambil ke atas pengusaha lori dari Johor itu…kita telah serah kertas siasatan lengkap dan masih tunggu keputusan daripada pihak TPR untuk tindakan selanjutnya di bawah APAD 2010.

“Kita sudah panggil pengusaha lori (sebelum ini) dan sebarang perkembangan (daripada TPR) akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Penguat kuasa Imigresen memeriksa dokumen penumpang bas

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu Khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Batu Berendam, di sini berakhir tengah malam tadi.

Artikel berkaitan: Polis ‘buru’ tayar lori tercabut punca nahas 7 maut

Puspakom tidak periksa tayar yang dikatakan punca nahas 7 maut

Nahas 7 maut: Dua beradik dibenarkan pulang

Nahas 7 maut: Dua anak belum dimaklumkan ibu bapa sudah tiada

Kemalangan ngeri 7 maut: Ini identiti mangsa terlibat

Tayar lori tercabut punca nahas 7 maut di Melaka

Nahas ngeri kira-kira jam 8.45 malam 23 Disember lalu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza.

Ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai  tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya menyebabkan pemandu bas persiaran melanggarnya sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Muhammad Firdaus memeriksa dokumen penunggang motosikal

Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga menyebabkan lima daripadanya maut di lokasi.

Dua lagi yang maut adalah pemandu bas dan penumpangnya, pemandu pelancong warga Singapura.

Sementara itu dalam operasi berkenaan, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 463 kenderaan dikesan melakukan 275 kesalahan daripada keseluruhan 4,075 kenderaan yang diperiksa.

“Kesalahan tertinggi adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh sebanyak 103 kes, lesen memandu tamat tempoh (68), kesalahan teknikal (48) dan lain-lain kesalahan sebanyak 56 kes.

“Kita turut menahan enam pemandu warga asing (PeWA) terdiri daripada dua warga Bangladesh serta masing-masing satu warga Indonesia, Pakistan, Vietnam dan Thailand atas kesalahan LKM dan insurans serta lesen memandu tamat tempoh,” katanya.

Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di KM 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, 23 Disember 2024 lalu berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

Dalam operasi sama, Imigresen yang diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, Mohd Hafizee Ramli turut menahan tiga lelaki warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here