BUTTERWORTH – Kesedaran mengenai kepentingan sijil halal dalam kalangan pengusaha perniagaan makanan di Pulau Pinang dilihat terus meningkat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, ia terbukti apabila 26 hingga 30 permohonan baharu diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) setiap dua minggu.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menegaskan, data itu mencerminkan keinginan pengusaha di negeri ini untuk memenuhi keperluan pelanggan Muslim yang semakin menitikberatkan aspek halal dalam pemilihan produk dan perkhidmatan.
“Sijil halal bukan sahaja menjadi satu tanda pengiktirafan dari segi pematuhan kepada syariat Islam tetapi juga merupakan daya tarikan kepada pasaran yang lebih luas, terutamanya dalam kalangan pengguna Muslim.
“Meskipun jumlah permohonan banyak diterima namun kita tetap melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan pengusaha sentiasa mengikuti prosedur yang betul dan memastikan produk yang dihasilkan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Ini kerana kita tak mahu timbul isu pengusaha hanya mematuhi syarat ketika membuat permohonan, justeru bahagian penguatkuasaan dan audit JHEAIPP akan melakukan pemeriksaan secara berkala,” katanya ketika diminta mengulas tindakan JHEAIPP dalam memperkasakan penggunaan sijil halal oleh pengusaha di Pulau Pinang.
Terdahulu Mohamad mengadakan perjumpaan buat julung kali bersama agensi-agensi agama Islam Pulau Pinang serta merasmikan penjenamaan semula Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP di Kompleks Darul Hidayah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, tiada aduan rasmi diterima berhubung penipuan atau salah guna sijil halal di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Selalunya bila terima aduan pegawai berkaitan akan turun ke lapangan buat pemeriksaan dan sekiranya ada kesalahan tindakan akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kita tak boleh pergi buat pemeriksaan sebulan sekali nanti (pengusaha) tak selesa pula.. jadi selain pemeriksaan berkala, pegawai penguatkuasa membuat pemeriksaan berdasarkan aduan,” katanya. – MalaysiaGazette