JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan bersama-sama 28 karton arak seludup dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Taman Dato Chellam, Ulu Tiram di sini kelmarin.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Unit Risikan Sektor (URS) Balai Polis Taman Pelangi Indah dibantu anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan serbuan itu pada pukul 4 pagi.
“Serbuan dilakukan di rumah teres dua tingkat yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan dan transit minuman keras tidak bercukai.
“Ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun di lokasi kejadian.
“Turut dirampas dalam operasi itu adalah 28 karton pelbagai jenis arak yang dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada pengaruh dadah.
Menurut Raub, suspek kini ditahan reman selama 10 hari bermula semalam sehingga 23 Januari ini.
Kes itu ujarnya, disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.- MalaysiaGazette