KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan semua tujuh pertuduhan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digabung dan dibicarakan secara bersama.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi ketika membacakan keputusannya pagi ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan afidavit serta hujahan lisan dan bertulis semua pihak.
“Mahkamah berpuas hati dengan keperluan penggabungan ini berdasarkan peruntukan bawah Sesyen 165 Kanun Tatacara Jenayah sekali gus dapat memastikan adanya pengadilan untuk semua yang terlibat selain menjimatkan masa mahkamah terutamanya apabila membabitkan saksi yang sama memberi keterangan,” katanya sebentar tadi.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta.
Dalam pada itu, Azura juga mengingatkan pendakwaan, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan setiap pertuduhan itu dibuktikan dan mahkamah pula memutuskan penghakiman berdasarkan hujah-hujah pendakwaan.
Muhyiddin akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan selepas Mahkamah Rayuan pada 11 September lalu menolak permohonannya untuk menyemak keputusan satu panel lain pada 28 Februari lalu yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi pihak Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan AMLA berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini. – MalaysiaGazette
Permohonan gabung 7 pertuduhan Muhyiddin diputuskan 16 Januari 2025