Asrizul Sumadi menunjukkan Surat daftar kelahiran Nadien Javier Asrizul yang kini dalam jagaan bersama-sama isterinya di Taman Saujana, Kluang

KLUANG – Seorang wanita yang menyerahkan anak kandungnya kepada sepasang suami isteri sehari selepas dilahirkan di Johor Maternity Specialist di sini enam tahun lalu dicari untuk mengesahkan status anak angkat.

Asrizul Sumadi, 40, berkata, Mas Shherra Arveena Noor Masri, yang kini telah berusia 25 tahun itu diperlukan untuk melakukan proses pengangkatan secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang.

Katanya, wanita berkenaan telah membantunya menguruskan pendaftaran kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kluang sebelum meninggalkan bayi yang diberikan nama Nadien Javier Asrizul Abdul Salam yang ketika itu berusia dua hari kepada mereka.

“Kira-kira lima hari selepas menyerahkan bayi itu kepada isteri saya, Noraishah Paimin, 35, wanita itu terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan dan dipercayai sudah mendirikan rumah tangga.

“Wanita itu pernah tinggal di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu namun berpindah sebaik selepas kelahiran bayi pada 30 Julai 2019,” katanya ketika ditemui.

Menurut Asrizul lagi, anak angkat yang diperliharanya itu akan memulakan persekolahan sebaik sesi persekolahan baharu dibuka hujung Februari ini.

Ujarnya, susulan itu, wanita berkenaan amat diperlukan untuk menyelesaikan urusan penyerahan anaknya sebagai anak angkat secara sah di JKM kepada mereka.

“Siapa-siapa yang mengenali wanita ini atau dirinya sendiri boleh berhubung dengan saya menerusi talian 012-7356758 untuk mengatur pertemuan bagi menguruskan hal-hal berkaitan di JKM,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here