KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memfokuskan tiga perkara untuk diberikan perhatian dalam usaha menjayakan Kepengerusian ASEAN yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mindef perlu memastikan sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN, tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan atau pergeseran yang berpotensi membawa kepada konflik serantau.
“Kedua, Kementerian Pertahanan akan memastikan ASEAN diangkat sebagai platform diplomasi terbaik dalam menguruskan sebarang cabaran serantau terutamanya melalui saluran ADMM (Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN) dan ADMM Plus yang akan diadakan pada 17 hingga 21 November nanti.
“Ketiga, kita akan menjadikan ASEAN sebagai peluang memperkemas pelbagai latihan, kerjasama serta diplomasi pertahanan di rantau ini dengan negara-negara anggota, negara-negara pemerhati dan rakan strategik ASEAN yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN yang merupakan detik penting untuk negara, katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, penglibatan Malaysia dalam misi-misi keamanan sejagat dan pemeliharaan hak asasi di bawah panji-panji badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetap akan diteruskan.
Katanya, penyertaan dan sokongan Malaysia dalam misi UNIFIL misalnya, akan diteruskan secara komited.
Bagaimanapaun beliau berkata, ia sama sekali tidak bermakna Malaysia tak akan bersuara lantang untuk memastikan sebarang penambahbaikan serta pemerkasaan misi-misi tersebut diberikan perhatian yang sewajarnya oleh badan-badan terlibat seperti PBB.
“Saya berhasrat untuk membawa mesej penting ini semasa penyertaan dalam UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin, Jerman pada 13-14 Mei nanti.
“Yang pasti, Kementerian Pertahanan akan memastikan segala pendekatan, persediaan, corak latihan serta keperluan aset yang bersesuaian untuk membolehkan penyertaan dan sumbangan berkesan Malaysia dalam misi-misi pengaman dunia diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Komitmen ini dipasakkan pada kepercayaan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif mesti kekal menjadi suara dan kuasa penengah yang neutral, berprinsip dan tegas,” tambah beliau. – MalaysiaGazette