Mohamed Khaled melambai tangan kepada tetamu yang hadir Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 peringkat Kementerian Pertahanan, di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) komited untuk menjayakan semua projek-projek perolehan pelbagai aset strategik sebagai langkah untuk meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia merupakan antara 10 fokus utama yang digariskan dalam perancangan 2025 kementerian itu dalam memastikan sistem pertahanan negara mencapai keperluan dan cabaran semasa.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM12 bilion bagi perolehan aset berkenaan.

Katanya, antara perolehan yang sudah diluluskan termasuk Meriam 105 milimeter Pack-Howitzer, Surface to Surface Missile (SSM) bagi kegunaan KD Jebat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS).

Selain itu, Mindef akan memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset penting lain mencapai kemajuan yang dijadualkan.

“Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 mencapai 96.52 peratus siap dan kini memulakan Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT).

“LCS2 juga sudah diturunkan ke air dan sedang menjalani ketetapan kerja (STW). LCS3 pula sedang dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air dirancang pada Januari 2026.

“Bagi pembinaan kapal Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua pula, kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal berkenaan dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhan pada Jun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pesawat Tempur Ringan Dwifungsi (LCA/Flit) KAI FA-50 Block 20 kini sedang mencapai status kemajuan sehingga 48 peratus dengan dua pesawat pertama akan diterima pada Oktober 2026.

Ujarnya, kementerian juga dalam proses perolehan Pesawat Ronda Maritim (MPA) bagi tujuan pengawasan kawasan maritim yang dijangka diterima pada Jun dan September tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here