Sebahagian pelajar Tingkatan Lima STAB di Kluang makan sarapan pagi sebelum masuk ke dewan peperiksaan

KLUANG – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara (STAB) di sini bekerjasama dengan ibu bapa menyediakan sarapan dan makanan waktu rehat kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Yang DiPertua PIBG STAB, Zulkifli Dahlan berkata, seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini pihaknya akan menyediakan kemudahan itu kepada setiap pelajar yang terlibat pada hari peperiksaan berlangsung.

“Seramai 257 orang pelajar terlibat dalam peperiksaan SPM bagi tahun 2024 di sekolah ini dengan sebahagian daripada mengambil keseluruhan matapelajaran.

“Tujuan penyediaan sarapan pagi dan makanan waktu rehat ini adalah bagi memberikan ruang kepada pelajar agar dapat membuat persiapan rapi sebelum memasuki dewan peperiksaan.

“Ada dalam kalangan pelajar yang tinggal jauh dari sekolah, kemudahan itu secara tidak langsung membantu mereka yang tidak berkesempatan bersarapan di rumah mendapat makanan apabila sampai di sekolah,” katanya ketika ditemui.

Zulkifli berkata, antara sarapan pagi yang disediakan adalah roti serta kuih manakala makanan waktu rehat seperti nasi lemak, nasi atau mi goreng selain minuman panas dan air kotak.

Pihaknya berharap tradisi menyediakan kemudahan sarapan dan makanan waktu rehat ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana amat memberikan manfaat kepada pelajar terlibat.

“Untuk tujuan itu, kami juga mengharapkan ada pihak-pihak yang perihatin untuk membantu penyediaan kemudahan ini pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengawas STAB, Shasvin Raj,17, mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan itu oleh pihak PIBG ssekolah.

Katanya, penyediaan sarapan pagi khususnya banyak membantu rakan-rakan seangkatannya bersedia menghadapi peperiksaan kerana mendapat makanan secukupnya sebelum memasuki dewan peperiksaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here