TANGKAK – Seorang suspek lelaki yang sedang dalam proses untuk dituduh di mahkamah di sini semalam melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini.
Orang Kena Tuduh (OKT) berkenaan, Mohd Saifulnizam Zakaria, 38, melarikan diri kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, lelaki warga tempatan itu sedang di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“IPD Tangkak sedang memburu seorang tahanan berbangsa Melayu, bernombor kad pengenalan, 871206-23-60xx dan beralamat di No. 122, Kampung Padang Lalang, Tangkak Johor.
“Suspek berbadan bersaiz kecil, kurus, berkulit gelap, tinggi lebih kurang 170cm.
“Usaha mengesan suspek diteruskan dan Op Tutup digerakkan melibatkan semua elemen termasuk unit anjing pengesan K9 di semua pintu keluar/masuk daerah Tangkak serta daerah polis yang bersempadan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan dijalankan bawah dua seksyen peruntukan kesalahan- kesalahan, Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuainya membiarkan tahanan lari dari pengurungan, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Selain itu ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 224 kanun keseksaan iaitu tentangan atau galangan terhadap penangkapan yang sah.
Tambahnya, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian dan berhubung terus menerusi talian Hotline IPD Tangkak 06-9785222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan Sharidathul Aflaha Ismail 019-2699573.
Roslan turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang mungkin ada kaitan dengan suspek berkenaan.- MalaysiaGazette