JOHOR BAHRU- Satu video memaparkan tindakan pelanggan menampar seorang kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tular dalam media sosial sejak semalam.
Kejadian yang tular semalam itu dipercayai berlaku di Puspakom Cawangan Johor Bahru, apabila pelanggan lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan pemeriksaan selepas didapati lorinya tidak memenuhi syarat kelulusan teknikal.
Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan warga emas memakai baju berwarna kuning itu pada awalnya memanggil staf berkenaan sambil menunjukkan sekeping kertas.
Kemungkinan kertas terbabit merupakan keputusan pemeriksaan kenderaannya dan memperlihatkan lelaki terbabit secara tiba-tiba menampar kakitangan yang sedang menjalankan tugasnya itu hingga menyebabkan situasi menjadi tegang.
Usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan pengesahan kejadian daripada pihak polis dan Puspakom.- MalaysiaGazette