KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat menyebarkan kempen kesedaran keselamatan siber sebagai langkah pencegahan daripada terus menjadi mangsa penipuan serta kecurian data peribadi dalam kalangan masyarakat.
Usaha itu sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat tentang ancaman siber yang semakin berkembang serta memperkukuhkan keselamatan digital.
Menurut Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT, Profesor Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam, program itu menggabungkan teori keselamatan siber yang dipelajari dalam kelas dengan pengalaman sebenar melalui interaksi bersama komuniti.
“Program Kesedaran Keselamatan Siber ini kita tekankan kepada ancaman siber seperti serangan phishing, malware dan langkah keselamatan data.
“Selain ceramah, program ini turut menyediakan aktiviti interaktif seperti simulasi serangan siber, bengkel keselamatan data dan sesi perkongsian bersama pakar. Peserta diberi peluang untuk memahami cara mengenal pasti ancaman siber serta langkah-langkahcmelindungi diri secara praktikal,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT, Dr. Waheed Ali Hussein Mohammed Ghanem turut mengingatkan para peserta tentang pentingnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam dunia digital.
“Kesedaran keselamatan siber adalah tanggungjawab kita semua. Saya berharap program ini dapat memberi manfaat dan membina masyarakat yang lebih selamat di alam maya,” katanya.
Melalui penganjuran itu, UMT bukan sahaja mengukuhkan peranan akademiknya tetapi juga melahirkan graduan yang berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menangani cabaran dunia digital, sekali gus menyumbang kepada masyarakat. – MalaysiaGazette