PUTRAJAYA – Waktu Bekerja Berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia kerana WBB adalah satu cadangan yang masih di peringkat cadangan termasuk mempertimbangkan kebajikan petugas kesihatan.
“Pada setiap cadangan itu ada baik dan buruknya sebab itu saya mahu kita pastikan ia melalui libat urus dengan pengarah-pengarah hospital, pakar-pakar dan jabatan-jabatan.
“Apa pun ia masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya.
“Malangnya ia semacam didedahkan mungkin sengaja atau tidak, itu soalan lain, yang penting saya belum luluskan apatah lagi (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) Jalan P9a, Presint 9, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, sepatutnya WBB untuk petugas kesihatan menjadi perintis di tujuh hospital mulai 1 Febuari ini.
Melalui sistem itu, WBB mengehadkan doktor dan doktor gigi di perkhidmatan kesihatan awam bertugas 18 jam berturut-turut, berkurangan daripada tugas “on-call” selama 24 hingga 33 jam yang diamalkan ketika ini.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan terhadap sistem syif baharu dan memberi amaran ia mungkin membebankan sistem penjagaan kesihatan awam. – MalaysiaGazette