JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki yang menjadi dalang utama sindiket dan merampas 24 kilogram dadah bernilai RM4 juta di dua kondominium di sekitar bandar raya ini pada minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejayaan menumpaskan sindiket dadah itu dilakukan menerusi operasi khas dalam dua serbuan pukul 8.45 malam pada 10 Januari sehingga 6.30 pagi pada 11 Januari lalu.
“Menerusi serbuan ini, keseluruhannya empat individu ditahan termasuk dua lelaki tempatan dan dua perempuan dipercayai warga Vietnam yang berusia lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun.
“Semua suspek ditahan dipercayai sahabat selain dua lelaki warga tempatan menjadi antara dalang utama pengedaran dadah sejak empat bulan lalu.
“Hasil saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif dan seorang suspek iaitu lelaki tempatan memiliki rekod berkaitan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Katanya, dalam operasi itu pihak polis berjaya merampas dadah anggaran 23.8 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM3.9 juta, 296 gram ketamin bernilai RM59,200 dan 13.2 gram (66 biji) pil erimin 5 bernilai RM1,320.
“Selain bungkusan menyamai minuman tiga dalam satu, bungkusan yang digunakan pada kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa,” ujarnya.
Kumar memberitahu, jumlah nilai rampasan dadah keseluruhan adalah RM4 juta dan boleh digunakan seramai 80,946 penagih jika terlepas ke pasaran.
Beliau berkata, polis juga menyita pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah, sebuah kereta dengan nilai sitaan RM30,000, wang tunai RM2,761, wang tunai SGD200 (RM655).
Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah untuk pasaran di sekitar Johor Bahru.
Kegiatan sindiket pengedaran dadah itu, katanya, aktif beroperasi sejak Oktober lalu dan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari bahagian utara negara.
Menurut Kumar, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan.
Dalam pada itu, katanya, mulai 1 hingga 16 Januari 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya membuat tangkapan seramai 1,184 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
Dalam tempoh yang sama pihaknya berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 155.75 kilogram dan 266.55 liter.
Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM21.68 juta selain nilai sitaan bernilai RM577,115, katanya.
Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekitar mereka dan sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline di talian 012-208 7222.- MalaysiaGazette