KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua bulan lagi menjelang Ramadan, tempahan baju Melayu untuk Hari Raya nanti sudah mula rancak diterima oleh tukang jahit.
Jika tahun lalu, persalinan jingga gelap menjadi pilihan, hijau zaitun dijangka menjadi warna popular tema baju Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri pada April depan.
Ia diakui oleh pemilik Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat selepas pakaian itu menjadi pilihan majoriti utama para pelanggannya ketika ini.
Namun, kata beliau, dua warna lain yang turut menjadi pilihan adalah ungu kemerahan dan merah tua.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan tetap yang datang membuat tempahan sejak November lalu rata-rata memilih warna pakaian rasmi kontinjen Malaysia pada majlis perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai pilihan mereka.
“Ketika ini tempahan baju Melayu untuk Hari Raya nanti belum sampai kemuncaknya namun kebanyakan pelanggan yang datang memilih kain berwarna hijau zaitun selain ungu kemerahan dan merah tua.
“Kebiasaan pelanggan akan datang ke butik pada hujung minggu bersama keluarga masing-masing untuk membuat tempahan awal di mana semua baju Melayu akan siap pada awal Ramadan nanti,” katanya yang mulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993.
Sementara itu, warna hijau zaitun menjadi pilihan kontinjen negara yangmenggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini pada pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris pada Julai tahun lalu.
Dikenali The Malaya, busana yang bertemakan ‘Manis dan Sopan’ dengan atlet wanita akan menggayakan busana tradisional kerubung yang sinonim dengan wanita Tanah Melayu dan digandingkan bersama baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki.
Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut , Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
“Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kilauan keemasan.
“Kilauan keemasan itu simbolik harapan kepada atlet kita membawa pulang pingat emas untuk negara.
“Rekaan itu juga seperti melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan diikat dengan emas yang dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna,” kata mereka kepada media sebelum ini. – MalaysiaGazette