Palestinians displaced from shelters in Beit Hanoun cross the main Salaheddine road into Jabalia in the northern Gaza Strip on bicycles and tuk-tuks following Israeli army evacuation orders on November 12, 2024, amid the ongoing war in the Palestinian territory between Israel and Hamas. (Photo by Omar AL-QATTAA / AFP)

KUALA LUMPUR – Gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang akan berkuat kuasa Ahad ini menunjukkan regim Zionis gagal sepenuhnya untuk mencapai objektif dalam serangan selama 15 bulan mereka terhadap Gaza.

Kegagalan paling utama adalah untuk menghapuskan atau melumpuhkan kumpulan Hamas yang bukan sahaja tidak terjejas, malah semakin mendapat sokongan kuat daripada penduduk Palestin.

Meskipun berdepan regim Israel yang memiliki kelebihan dari segi anggota tentera, teknologi senjata, modal dan sokongan daripada pelbagai negara sekutu, namun Hamas tetap teguh dan ampuh menjadi benteng dalam mempertahankan Gaza.

Bagi pemerhati politik Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, gencatan senjata yang dicapai itu juga berjaya menggagalkan hasrat Israel untuk mengusir sepenuhnya penduduk Gaza dan menduduki wilayah tersebut sebagai penempatan haram terbaharu negara berkenaan.

Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor bercakap pada Sidang Media Mengenai Pembunuhan Imam Palastin Dr. Fadi Al-Batsh di Pejabat MyCARE, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 APRIL 2018

Ia jelas beliau, memberi gambaran penduduk Gaza tidak mudah diusir dan akan tetap mempertahankan tanah air mereka walaupun berdepan dengan serangan ganas dan genosid yang membunuh ribuan penduduknya.

Tambahnya, ini bukan kali pertama penduduk Gaza berjaya bangkit mempertahankan tanah air mereka selepas berdepan beberapa siri serangan ganas regim Zionis antaranya pada tahun 1956; 1970 dan 1973.

Malah, ujar beliau, wilayah Gaza juga sudah dikenakan kepungan dan sekatan ekonomi secara menyeluruh oleh Israel sejak Hamas membentuk kerajaan pada pilihan raya 2007 iaitu sejak kira-kira 17 tahun lalu.

Sejak itu, jelasnya, penduduk Palestin khususnya di Gaza hidup dalam keadaan tidak ubah seperti di penjara tanpa kemudahan asas seperti bekalan air, bahan api dan elektrik yang sempurna serta infrastruktur yang musnah akibat serangan yang tidak dapat dibina semula.

“Secara tidak langsung, keteguhan dan kekuatan penduduk Gaza mempertahankan tanah air mereka memberi lonjakan semangat kepada penduduk Palestin lain khususnya di Tebing Barat untuk sama-sama mempertahankan negara mereka.

“Ia juga memberi inspirasi kepada penduduk Palestin yang terperangkap di negara haram Israel sejak 1998 yang kini dianaktirikan dan dianggap seperti warga kelas ketiga untuk mendapatkan semula hak mereka sebagai manusia bebas serta tanah air mereka yang dirampas bangsa asing,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Hafidzi yang juga Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkata, gencatan senjata kali ini juga bakal memberi kesan positif jangka ke arah pembangunan semula wilayah Gaza yang kini boleh diibaratkan seperti padang jarak padang terkukur selepas musnah dibom regim Zionis.

Menerusi perjanjian itu, tambah beliau, bantuan dari seluruh dunia kini dapat memasuki Gaza termasuk gerakan yang dicetuskan menerusi kerjasama yang dicapai antara Malaysia dan Jepun untuk membangunkan semula Palestin baru-baru ini.

Menurutnya, ia juga secara tidak langsung, akan terus memberi tekanan kepada Israel untuk mengangkat sepenuhnya sekatan dan kepungan kemanusiaan serta ekonomi yang melumpuhkan Gaza selama ini.

“Bagaimanapun, ini hanya akan berlaku sekiranya Israel khususnya tidak mengkhianati dan menghormati syarat-syarat gencatan senjata yang dicapai ini tanpa ada ruang-ruang untuk mereka berdolak-dalik untuk menggagalkannya seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Itulah harapan kita iaitu semoga gencatan senjata ini memberi kelegaan dan cahaya di hujung terowong untuk melihat Gaza bebas dan merdeka bukan sahaja dari segi penjajahan, tetapi juga kepungan dari Israel,” katanya.

Rabu lalu, pengantara Qatar dan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan gencatan senjata antara Hamas dan Israel berjaya dicapai sekali gus mengakhiri serangan ke atas Gaza yang berlanjutan sejak lebih 15 bulan lalu.

Gencatan senjata itu yang akan berkuat kuasa pada Ahad ini melibatkan tiga fasa iaitu pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pertukaran tebusan antara kedua-dua pihak dan pemulihan jangka panjang Gaza. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here