LONDON – Manchester City mengesahkan penyerang berbisanya, Erling Haaland menandatangani kontrak baharu selama sembilan tahun setengah bersama penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Lanjutan kontrak itu mencatat sejarah yang terpanjang di EPL mengatasi kontrak sembilan tahun ditandatangani Cole Palmer bersama Chelsea.
“Erling kekal di sini!. Kami teruja untuk mengumumkan Erling Haaland melanjutkan kontraknya di City sehingga 2034,” kata kelab dalam satu hantaran di akaun X.
Haaland dilaporkan akan menerima gaji sekitar 500,000 pound (RM2.7 juta) seminggu.
Pemain antarabangsa Norway itu mencipta sensasi selepas menyertai City dari Borussia Dortmund pada 2022 apabila meledak 52 gol dalam keseluruhan kejohanan disertainya.
Dia turut membantu kelab meraih gelaran trebel apabila menjuarai Liga Juara-Juara, EPL dan Piala FA pada musim pertamanya bersama pasukan.
“Saya sangat gembira menandatangani kontrak baharu dan akan berada lebih lama di kelab yang hebat dan istimewa ini,” katanya di media sosial kelab itu. – Agensi