oplus_0

MELAKA – “Saya harap ayah akan segera ditemui, tak kisahlah hidup atau pun mati saya nak lihat jasadnya,” kata Susanti Muarep.

Wanita berusia 40 tahun itu adalah anak sulung nelayan Muarep Sakem, 63, yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Pulau Undan, di sini Rabu lalu bersama rakannya, Rosenizam Maharam, 50.

Susanti berkata, kali terakhir dia berhubung melalui telefon dengan bapanya itu yang sudah bercerai dengan ibunya adalah pada malam Ahad lalu.

“Ayah sempat beritahu dia akan turun semula ke laut mencari rezeki selepas hampir dua bulan berehat di rumah kerana enjin bot rosak.

“Selalunya, memang ayah akan bermalam di laut dan balik keesokan harinya, tak sangka pula kali ini dia tak balik,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di Jeti Nelayan Padang Temu di sini hari ini.

Dr Akmal mendengar taklimat operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang di Jeti Nelayan Padang Temu, Melaka petang tadi

Hadir sama meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR), Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, pekerja swasta itu berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu ibunya pagi tadi dan terus bergegas ke lokasi.

“Sepanjang kira-kira 40 tahun ayah jadi nelayan, belum pernah lagi berlaku insiden begini dan saya sangat takut tambahan pula melihat cuaca angin di laut yang sangat kuat.

“Tidak kiralah apa yang berlaku hidup atau mati saya mahu lihat jasad ayah,” katanya hiba.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dua nelayan bersama sebuah bot dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan, di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan itu melalui kumpulan WhatsApp Sahabat Maritim pada jam 5 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis yang dibuat majikan mangsa, tekong bot, Muarep bersama awak-awak, Rosenizam, dilaporkan keluar memukat, Rabu lalu.

Kali terakhir mereka berhubung dengan majikan adalah pada pukul 10 semalam bagi memaklumkan enjin bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 berwarna coklat biru yang digunakan mengalami kerosakan.

Ekoran itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru segera mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 7.30 malam dengan mengatur gerak aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke lokasi kejadian untuk pencarian awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here