PUTRAJAYA – Ibu bapa kepada murid-murid Tahun 1 yang menerima cermin mata percuma menerusi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan melahirkan rasa syukur kerana inisiatf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Optimax Eye Specialist Center Sdn. Bhd. (Optimax Eye) telah mengurangkan beban kewangan mereka.
Rata-rata mereka yang menyambut baik usaha KPM dan KKM itu turut menyifatkan program berkenaan turut membantu ibu bapa dalam mengenal pasti tahap kesihatan mata anak-anak mereka.
Seorang bapa, Faridz Amli Shaharudin, 45, berkata, anaknya tidak tahu pun dia rabun sehinggalah menyertai program yang dianjurkan oleh KPM dan KKM ini.
“Anak saya tidak tahu dia rabun tapi kalau tengok televisyen memang duduk depan-depan. Selepas program ini baru saya tahu dia sebenarnya rabun. Bagus jugalah program ini.
“Sekarang dia selesa, penglihatannya semakin jelas,” katanya ditemui di sini.
Seorang ibu, Yusrida Ismail, 40, juga mengakui tidak tahu anaknya rabun tetapi menyedarinya anaknya ada masalah membuat kerja sekolah.
Katanya, dia baru mengetahui tahap kesihatan mata anaknya selepas pemeriksaan dilakukan menerusi program ini.
“Saya amat bersyukur kerana menerusi program ini anaknya dapat cermin mata percuma, sekali gus mengurangkan beban kewangan bagi keluarga yang tidak berkemampuan sepertinya.
“Alhamdulillah, anak saya dapat sumbangan ini (kaca mata percuma). Sebab saya sendiri gunakan kaca mata, saya tahu kos untuk dibelanjakan,” ujarnya.
Sementara itu, Syed Hanafi Syed Ali Hanafiah, 40, berharap program ini akan diperluaskan ke seluruh negeri supaya dapat membantu lebih ramai murid kurang berkemampuan.
Sebagai bapa yang mendapat manfaat daripada program ini menzahirkan ucapaan terima kasih kepada KPM, KKM dan Optimax Eye Specialist atas program yang cukup bermakna ini.
“Terima kasih kepada KPM, KKM dan Optimax anjurkan program ini. Saya harap dapat inisiatif ini diteruskan bagi membantu lebih ramai orang,” katanya lagi.
Seramai 100 murid Tahun 1 dalam kalangan keluarga B40 dan M40 daripada 16 buah sekolah di sekitar Putrajaya di sini menerima cermin mata percuma hari ini.
Pemberian itu dibuat menerusi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1, inisiatif KPM, KKM dan Optimax Eye bagi mempertingkatkan kesihatan penglihatan dalam kalangan murid sekolah.
Untuk program ini, seramai 258 murid telah menjalani pemeriksaan refraktif dan daripada jumlah tersebut, 100 orang dikenalpasti memerlukan cermin mata dan layak penajaan cermin mata secara percuma daripada Optimax Eye.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika ditemui menyifatkan Program Pemeriksaan Refraktif merupakan jalan penyelesaian kepada pembangunan pembelajaran murid-murid khususnya mereka di Tahun 1.
Menurut beliau, dengan program ini tahap kesihatan mata murid-murid dapat dikenal pasti, sekaligus membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Kedua-dua kementerian (KPM dan KKM) sentiasa mengambil kira pembangunan kesihatan anak-anak. Insya-Allah program ini akan disambut KPM untuk memastikan penglihatan murid-murid terus diberi keutamaan.
“Kita tahu kesihatan mata penting dalam pembelajaran, jadi refraksi yang baik membolehkan mata bekerja dengan baik. Jadi penumpuan murid dalam kelas akan lebih baik,” tambah Fadhlina.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye, Sandy Tan berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan KPM dan KKM dalam memperbaiki kesihatan mata dalam kalangan generasi muda.
“Penglihatan adalah asas penting kepada pendidikan dan kualiti hidup seseorang kanak-kanak. Dengan menyediakan cermin mata kami berupaya menghapuskan halangan kejayaan akademik dan perkembangan peribadi mereka.
“Kerjasama ini juga menunjukkan potensi transformasi yang dapat dicapai melalui Kerjasama awam-swasta dalam menangani cabaran dan mencipta masa depan lebih cerah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette