Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir berkerusi roda ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menolak cadangan pihak pendakwaan bahawa Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low adalah `bayangan’ beliau dalam urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri juga menafikan ahli perniagaan dalam buruan itu yang `duduk’ dalam 1MDB sejak 2009, terlibat dalam semua peringkat pelaksanaan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P. Kunyalam di di Mahkamah Tinggi hari ini, Najib tidak bersetuju beliau mengeluarkan semua arahan kerana keputusan akhir dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding soal balas itu, bekas Perdana Menteri turut ditanya oleh Mohamad Mustaffa bahawa saksi pendakwaan ke-43, Tan Sri Tong Kooi Ong pernah menyuarakan kebimbangan dan perasaan curiga terhadap Jho Low.

Ketika memberi keterangan pada 2022, Pengerusi Kumpulan Media The Edge itu berkata, beliau menyatakan wujud sesuatu yang tidak kena pada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Pendakwa: Tan Sri Tong pernah memaklumkan bahawa Jho Low melakukan kesalahan dan sepatutnya didakwa?
Najib: Setuju

Pendakwa: Datuk Seri setuju, ini menambah lagi curiga terhadap Jho Low dan buatkan Datuk Seri tak selesa?
Najib: Setuju.

Pendakwa: Pada 2015, kecurigaan terhadap Jho Low memuncak dan sepatutnya ketika itu lagi tindakan sudah diambil terhadapnya?
Najib: Ketika itu saya menunggu laporan, tapi tiada pun (laporan).

Pendakwa: Sepatutnya, ketika itu sudah ada maklumat dan siasatan dijalankan?
Najib: Tidak setuju.

Pada prosiding itu, Najib turut disoal balas, oleh kerana tindak tanduk Jho Low dicurigai, beliau sepatutnya menjauhkan diri daripada berhubungan dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Pihak pendakwaan menyatakan, Najib sepatutnya mematuhi Perkara 8 Kod Etika Anggota-Anggota Pentadbiran 1997 dan menghindarkan diri daripada Jho Low.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri menyatakan, meskipun tidak selesa dengan Jho Low, beliau menyerahkan kepada agensi yang menyiasat termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Meskipun curiga, saya tetap teruskan dengan Jho Low kerana kita ada sesuatu yang ingin dicapai untuk kepentingan negara,” ujar beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman bersambung Isnin. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here