KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil dengan Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! bertujuan menggalakkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman secara konsisten pada bila-bila masa dan di mana sahaja menggunakan platform myPTPTN.
PTPTN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kempen itu juga bertujuan menghebahkan kepada orang ramai mengenai kelebihan transaksi tanpa tunai.
Bermula pada 1 Januari lalu sehingga 31 Mac depan, kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang menggunakan aplikasi myPTPTN.
Menerusi kempen itu, PTPTN menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 untuk 25 pemenang dengan setiap pemenang akan menerima hadiah sebanyak RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
Di samping itu kempen yang sama juga menawarkan kategori khas istimewa buat pelanggan baharu yang ke-2.5 juta yang berjaya memuat turun dan membuat pengesahan identiti di myPTPTN yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
“Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman pendidikan dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat 10 cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
“Selain itu, pengguna myPTPTN yang baharu mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan,” demikian menurut kenyataan yang sama.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam boleh menggunakan aplikasi web myPTPTN untuk membuat rundingan bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
Ujar beliau, PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan berkaitan pinjaman dan bayaran balik dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang mudah, cepat dan selamat.
“Selain itu, kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! adalah kempen untuk menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kelestarian dana pendidikan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
“Melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman,” ujar beliau.
Dalam pada itu, PTPTN berharap dengan penganjuran kempen tersebut akan meningkatkan kesedaran peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi myPTPTN.
Maklumat lanjut mengenai kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! boleh didapati dengan melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat. – MalaysiaGazette