KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat penyiaran di Sarawak sedang dilengkapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 dan 403 Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta 613.
“Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit bersama isteri dan dua lagi individu telah ditahan pada Jumaat iaitu 10 Janauari lalu namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dijalankan ke atas mereka.
“Terbaru, dua lagi tangkapan dibuat iaitu bekas Datuk Bandar berusia 67 tahun dan seorang wanita berumur 71 tahun juga bekas pengurus besar tidak dibawa untuk reman kerana aspek umur serta kesihatan mereka.
“Bagaimanapun mereka dilepaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Razaruddin, tindakan susulan terhadap dual lagi tangkapan baharu bergantung kepada siasatan pegawai penyiasat kes.
Katanya lagi, bekas Datuk bandar bersama tiga lagi inidividu yang ditahan dalam serbuan terbaru Ops Ragada adalah pegawai tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek disyaki mempunyai unsur penyelewengan.
“Kesemua suspek ini dipercayai menerima perolehan haram hasil daripada projek yang diseleweng dan sebarang tangkapan lain mungkin akan dilakukan namun ia bergantung kepada siasatan dijalankan,” ujarnya.
Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, modus operandi susek adalah menjalankan aktivti pengubahan wang haram menerusi transaksi kewangan yang mencurigakan.
Katanya, ia termasuk kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
Pada Jumaat lalu, lima individu ditahan menerusi Ops Ragada yang dilaksanakan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada Oktober lalu.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 62 tahun termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya serta dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak.
Hasil serbuan, Pasukan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun perbankan dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta. – MalaysiaGazette